suria

Todt Duta Pelancongan: "Ya! RM1 juta disediakan, sebenarnya tak cukup"

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan mengesahkan telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif pasukan F1 Ferrari, Jean Todt yang dilantik sebagai Duta Pelancongan Malaysia di rantau Eropah. Todt telah diberikan penghormatan itu bermula bulan lalu untuk tempoh selama dua tahun.

Sehubungan itu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, sejumlah itu sebenarnya tidak mencukupi untuk menjalankan kerja-kerja promosi di benua Eropah. "... (peruntukan ini) bukan dalam bentuk wang tunai. Jika anda hendak melakukan promosi di Eropah, RM1 juta sebenarnya tidak mencukupi," kata beliau di lobi Parlimen petang tadi. Mengulas dakwaan Ahli Parlimen Gombak (PKR) Azmin Ali, Ng memberitahu, Azmin seharusnya memaklumkan sumber bagi maklumat yang digunakan untuk membuat dakwaan sedemikian. Pagi tadi, Azmin mempersoalkan peruntukan wang hampir RM1 juta dengan melantik Todt sebagai Duta Pelancongan Malaysia. Azmin mempersoalkan pelantikan itu memandangkan Tourism Malaysia mempunyai pejabat di kebanyakan negara. Selain itu, Azmin juga mendakwa Todt dan tunangnya rakyat Malaysia, Datuk Michelle Yeoh telah ditawarkan sebahagian Pulau Besar yang terletak di Terengganu. Menurut Azmin, sebagai perbelanjaan promosi Todt diperuntukkan RM593, 400 dan RM360,000 lagi sebagai bayaran mengunjungi negara ini. Ketika ditanya tentang tarikh peruntukan dan tawaran itu dikeluarkan, Azmin berkata, beliau mahu Kementerian Pelancongan menjawab isu berkenaan terlebih dahulu. "Saya akan mendedahkan kemudian," katanya. Mengenai sebahagian tanah di Pulau Besar, Terengganu, Ng berkata, Todt dan Teoh tidak memiliki apa-apa tanah di pulau itu. "Beliau tidak pernah memiliki apa-apa tanah di Pulau Besar," kata beliau sambil menambah, Azmin juga perlu menjelaskan mengenai perkara tersebut. Bagaimanapun Ng mempertahankan pelantikan Todt sebagai Duta Pelancongan kerana kehadiran beliau akan membantu menaikkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Artikel Lain