suria

Lima lelaki didakwa rompak keluarga ahli perniagaan

KLANG: Lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak harta benda milik keluarga seorang ahli perniagaan termasuk barangan kemas, sebuah kereta dan sejumlah wang tunai dengan bersenjatakan parang, di sini bulan lepas.

K.Immanuvellu, 25, D.Kuhan, 35, K.Puvaneswaran, 27, S.Kuthan, 37, dan S.Youvarajan, 32, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.

Kesemua tertuduh didakwa bersamasama dua lagi yang masih bebas merompak harta benda termasuk 18 utas rantai leher, 12 pasang gelang tangan, empat utas thali kahwin, sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis 1.8 bernombor pendaftaran BHC 9630, wang tunai dan sembilan keping pasport antarabangsa milik M. Mohamed Abdul Kader, 70, dan keluarganya dengan bersenjatakan parang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di S/Lot B1, Lot 10434 Batu 4 1/2, Jalan Kebun di sini, kira-kira pukul 11.30 malam pada 14 Mei lepas.

Di mahkamah yang sama, Immanuvellu dan Youvarajan juga didakwa bersamasama dua lagi yang masih bebas merompak seutas rantai emas bernilai RM1,500 milik seorang pengarah syarikat, C.Komathi, 53, dengan bersenjatakan parang di hadapan rumah No: 3 Lorong Solok Batai Laut 4, Taman Bukit Cemerlang di sini, kira-kira pukul 5.30 petang pada 2 Mei lepas.

Bagi kedua-dua kes itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan Immanuvellu dan Youvarajan dibebaskan dengan jaminan RM11,000 serta seorang penjamin setiap seorang bagi kedua-dua kes itu sementara tertuduh lain dibenarkan diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Mahkamah turut menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kent Chai Wai Hong sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Gerard Lazarus. BERNAMA

Artikel Lain