suria

Bekas Yang Dipertua Daerah Jasin hadapi tuduhan rasuah

MELAKA: Bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Jasin (MDJ), Mustadza Abu Bakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan cuba memperoleh suapan RM10,000 pada November 2003.

Mustadza, 55, seorang ahli perniagaan dan bekas Bendahari Umno bahagian Jasin pada tarikh itu, dituduh secara rasuah cuba mendapatkan suapan daripada Zakariah Abu Bakar di pejabat MDJ.

Mengikut kertas pertuduhan, cubaan memperoleh suapan itu adalah untuk menghapuskan denda lewat akibat kegagalan Syarikat Built Tex Construction Sdn Bhd menyiapkan projek membina medan selera di Merlimau, Jasin.

Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan Mustadza, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin sebanyak RM10,000.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Fazlin Hamdan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). BERNAMA

Artikel Lain