suria

Seorang lagi Datuk kerugian RM600,000 bila rumah dipecah masuk

PETALING JAYA: Selang dua hari selepas kejadian sebuah kediaman milik ahli politik bergelar Datuk dipecah masuk sekumpulan tujuh penjenayah di Shah Alam kelmarin, seorang ahli perniagaan yang juga bergelar Datuk di sini turut kerugian kira-kira RM600,000 setelah rumahnya dimasuki dua lelaki bersenjatakan pistol awal pagi tadi.

Kedua-dua lelaki itu memasuki rumah yang terletak di Jalan Pantai itu pada pukul 4.30 pagi ketika ahli perniagaan tersebut bersama isteri, dua anaknya serta dua pembantu rumah sedang nyenyak tidur.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata dua lelaki bertopeng itu mengambil kesempatan ketika pengawal keselamatan rumah banglo setingkat itu sedang bercuti dan memasuki rumah itu lalu mengikat kesemua penghuni serta mengugut supaya menyerahkan barangan berharga.

"Wang tunai dan barang kemas milik keluarga itu dilarikan dan dianggarkan berharga kira-kira RM600,000," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Beliau berkata Datuk berusia 48 tahun itu kemudiannya menghubungi polis kira-kira pukul 6 pagi selepas berjaya melepaskan ikatan pada badannya.

Katanya, polis percaya keduadua suspek telah memerhatikan kediaman Datuk itu yang memiliki sebuah syarikat cari gali, untuk tempoh yang agak lama sebelum memecah masuk.

"Kita percaya mereka turut mengetahui jadual kerja pengawal keselamatan di banglo satu tingkat yang bercuti setiap hari Ahad selain memahami selok-belok kawasan dalam rumah itu," katanya.

Polis turut menemui kesan cap jari milik suspek dan akan menjalankan siasatan kes berkenaan di bawah kes samun berkumpulan menggunakan senjata api.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi di Shah Alam itu, tujuh penjenayah warga Indonesia bukan sahaja melarikan barangan berharga dari kediaman seorang Datuk yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam yang sedang melancong di luar negara, malah merogol pembantu rumahnya secara bergilir-gilir. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain