suria

Sarawak catat kes pertama influenza A(H1N1)

MIRI: Seorang pelajar berusia 23 tahun dari Universiti Swinburne di kampus Kuching menjadi mangsa pertama disahkan menghidap penyakit influenza A (H1N1) di Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan di sini, semalam.

Katanya pelajar itu dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Besar Sarawak (SGH) di Kuching sejak semalam apabila menghidap deman selepas kembali dari Melbourne, Australia, Jumaat lepas.

Pelajar berkenaan pergi ke Melbourne untuk mengambil peperiksaan.

Dr Chan berkata seramai 21 penumpang berada dalam penerbangan mangsa iaitu penerbangan MH2504 dari Kuala Lumpur ke Kuching, penerbangan sambungan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Melbourne dengan menaiki pesawat MH128.

Beliau menggesa ahli keluarga dan rakan yang berada bersama mangsa sejak kepulangannya supaya mengambil langkah berwaspada bagi mencegah penularan wabak itu.

Dr Chan berkata penumpang lain yang berada dalam penerbangan sama dengan mangsa supaya kuarantinkan diri dan dinasihat mendapatkan pemeriksaan di hospital berhampiran jika mempunyai tandatanda selesema atau demam.

Selain Hospital SGH, katanya rawatan untuk penyakit seperti selesema boleh diperolehi di Pusat Perubatan Sarawak di Samarahan dan hospital di sini, Sibu dan Bintulu.

Beliau berkata penduduk di negeri itu tidak harus panik dengan kes terbaru di negeri itu tetapi memberi kerjasama kepada pihak berkuasa kesihatan dengan mengambil langkah berjagajaga bagi mencegah penularan wabak itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain