suria

Rang Undang-undang DNA 'kontroversi' dilulus

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 yang mengundang reaksi pelbagai pihak akhirnya diluluskan dengan pindaan di Dewan Rakyat hari ini.

Selepas perbahasan secara panjang lebar di peringkat dasar tahun lepas, rang undang-undang itu mengambil masa dua hari pada persidangan kali ini bagi perbahasan di peringkat jawatankuasa, yang menyaksikan sembilan Fasal di dalam rang undang-undang itu dipinda.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata antara yang dipinda termasuk Fasal 7, menyentuh mengenai pelantikan pegawai polis sebagai Ketua, Timbalan Ketua dan pegawai Bank Data DNA Forensik Malaysia.

Di bawah pindaan rang undang-undang itu, jawatan Ketua, Timbalan Ketua dan pegawai yang bertanggungjawab mentadbir dan mengurus Bank Data DNA itu kini digantikan dengan seorang pegawai awam yang memiliki kelayakan dan pengalaman dalam sains DNA.

"Cadangan pindaan bagi Fasal 7 rang undang-undang itu bertujuan meluaskan golongan orang yang layak untuk dilantik untuk menguruskan Bank Data DNA," katanya ketika mencadangkan pindaan dan menggulung perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa, di Dewan Rakyat.

Sebelum cadangan pindaan itu, menteri hendaklah melantik seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Timbalan Pesuruhjaya Polis sebagai Ketua Bank Data DNA.

Bagi jawatan timbalannya, seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis boleh dilantik, manakala pegawai Bank Data hendaklah terdiri daripada kalangan anggota pasukan polis.

Selain itu, Dewan Rakyat turut meluluskan cadangan pindaan bagi Fasal 13(7) bagi membolehkan seseorang yang tidak membenarkan sampel bukan intimnya diambil, dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Sebelum ini, subfasal itu memperuntuk pegawai polis boleh menggunakan segala cara yang perlu untuk mengambil atau membantu dalam pengambilan suatu sampel bukan intim daripada seseorang.

Kementerian turut mencadangkan dua fasal dalam rang undang-undang itu dipotong.

Dua fasal berkenaan ialah Fasal 14, mengenai peruntukan jumlah denda dan tindakan penjara ke atas seseorang yang enggan memberi sampel bukan intim, dan Fasal 24 yang menyatakan maklumat daripada Bank Data DNA hendaklah diterima sebagai bukti muktamad bagi identifikasi DNA dalam prosiding mahkamah.

Abu Seman berkata pindaan yang dibuat oleh kerajaan adalah sejajar cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh badan-badan bukan kerajaan serta anggota parlimen kerajaan dan pembangkang sewaktu perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar.

Selain cadangan pindaan daripada kerajaan, beberapa anggota Parlimen pembangkang turut mengutarakan sembilan cadangan pindaan termasuk Teo Nie Ching (DAPSerdang), Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai), Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) dan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Bagiamanapun, cadangan-cadangan yang dikemukakan itu ditolak Dewan Rakyat.

Rang Undang-Undang DNA 2008 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Ogos tahun lepas dibahagikan kepada enam bahagian dan mengandungi sebanyak 27 fasal.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk membolehkan penubuhan Bank Data DNA Forensik Malaysia, mengambil dan menyimpan sampel DNA, menganalisis sampel DNA dan menggunakannya untuk tujuan kemanusiaan.

Rang undang-undang yang akan dikenali sebagai Akta Identifikasi DNA itu akan memberi kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya, untuk mendapatkan, memperoleh sampelsampel DNA daripada mana-mana suspek yang mempunyai kaitan langsung dengan sesuatu kes jenayah yang disiasat selain untuk dijadikan bahan rujukan bagi tujuan menyelesaikan sesuatu kes pada masa akan datang.

Persidangan dewan bersambung esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain