suria

Kementerian akan cadang kepada kabinet skim latihan teknologi angkasa untuk pelajar - Rais

MOSCOW: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengalu-alukan kehadiran lima pelajar Malaysia untuk turut menyaksikan pelancaran satelit terbaru Malaysia, MEASAT3a ke angkasa pada Isnin berkata, langkah perlu dilakukan bagi memastikan pendedahan mereka itu adalah berguna menerusi skim latihan yang diharap akan menghasilkan pemindahan teknologi satelit kepada Malaysia dalam jangka panjang.

Satelit komunikasi Measat Satellite Systems Sdn Bhd tersebut berjaya dilancar dari Baiknour Cosmodrome kirakira 5.50 pagi waktu Malaysia.

Beliau berkata adalah penting bagi kerajaan dan sektor swasta untuk mewujudkan skim latihan untuk pelajar dalam sektor aeroangkasa bagi memudahkan perpindahan teknologi satelit ke Malaysia.

Malaysia tidak harus berpuas hati dengan memiliki pengetahuan mengenai teknologi angkasa dan menghantar angkasawan pertama ke angkasa lepas sematamata, katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Domodedovo di sini selepas tiba dari Baiknour di Kazakhstan di mana beliau bersama para pelajar berkenaan dan pegawai Malaysia, menyaksikan pelancaran satelit keempat Measat tersebut beberapa jam sebelum itu.

Pelancaran satelit itu yang tepat pada jadual disaksikan oleh Ahmad Ruiz Mohd Asri dari SMK Taman Tun Dr Ismail, Lina Na'ilah Abdul Talip dari SMKA Maahad Hamidiah di Kajang, Chandra Sekhar Kuppusamy dari SMK Dato Penggawa Timur, Masai, Cliff Asher R Ongil dari SM St Paul, Beaufort, Sabah dan Edmund Lau Chen Min dari Sekolah Tinggi Kuching.

Para pelajar ini yang merupakan antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2007 turut disertai pelajar dari Indonesia, India, Filipina dan United Kingdom, menyaksikan pelancaran dalam keadaan cuaca yang sejuk dan berangin.

Turut hadir pada persidangan akhbar tersebut dan acara pelancaran sebelum itu ialah Ketua Pegawai Operasi Measat, Paul BrownKenyon.

Rais berkata kementeriannya bersama Measat dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan bekerjasama untuk membentuk skim seumpama itu kepada para pelajar.

Melalui skim latihan tersebut, beliau berkata impian anak muda berlima dari Malaysia itu dan selebihnya dari negara-negara lain mempunyai "orbit" mereka sendiri pula selepas ini supaya memastikan ini satu pendedahan yang berguna.

"Soal mereka tak diberi peluang tak timbul sebab kami akan membawa hal ini ke Kabinet dan memberi satu galakan yang luas," kata beliau.

Penyertaan lima orang pelajar ini merupakan satu tanda awal bahawa generasi muda Malaysia sudah mempunyai satu tapak untuk mula mendalami ilmu keangkasawanan dan ilmu yang berkait dengan angkasa lepas, katanya.

Yang penting bagi kita menekankan ialah bukan setakat hanya menyertai satu lonjakan ke angkasa lepas tetapi untuk memperolehi ilmu itu dari sudut yang sebenar atau perpindahan teknologi, kata Rais.

Tetapi itu tak dapat dilakukan kecuali sistem pembelajaran kita atau pun sistem memperolehi ilmu ini tidak digalakan, katanya.

Beliau berkata sekiranya Measat atau pihak lain boleh memberi ganjaran, kerajaan boleh mengemukan cadangan supaya pengkajian ilmu menghantar manusia ke angkasa lepas ini didalami.

"Kita berharap pengalaman yang terdahalu tak berhenti di situ sahaja tetapi kita isi dengan kebolehan kita mengkaji ilmu itu sehingga kita tahu dari sudut asas sampai ke tahap tertinggi," katanya.

Rais berkata: "Kita seharusnya bangkitkan usaha ini lagi dan jika yang lima (pelajar berkenaan) menunjukkan minat, pihak yang berkuasa boleh memberi galakan dan menghantar mereka untuk dilatih menerusi kursus-kursus spesifik supaya cara untuk mencapai ilmu itu dan juga budaya keangkasawanan itu dapat di tanam awal." BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain