suria

Empat rakyat asing terlibat dalam pengedaran dadah diberkas

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri warga Indonesia, seorang lelaki Pakistan dan seorang wanita warga India menggunakan taktik baru untuk mengedar dadah dengan menyembunyikan dadah di dalam komputer riba.

Kesemua mereka yang berumur antara 28 dan 48 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang Hilir di sini, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Kang Chez Chiang berkata dalam serbuan pada pukul 10.30 malam itu polis berjaya merampas enam paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah heroin dan sebahagian daripada dadah itu disembunyikan dalam ruangan bateri sebuah komputer riba.

"Kesemua heroin itu seberat 2.8kg dan dianggarkan bernilai lebih RM200,000," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam.

Beliau berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM6,045, USD1,000 dan Rupiah Indonesia 845,000 serta enam buah telefon bimbit pelbagai jenama.

Beliau berkata kumpulan itu yang aktif sejak enam bulan lalu juga merupakan kumpulan pertama yang menggunakan taktik menyembunyikan dadah di dalam komputer riba.

"Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki Pakistan itu bekerja sebagai penjual kain di sekitar Lembah Klang manakala teman wanitanya iaitu warga India terbabit tidak bekerja.

"Lelaki Indonesia itu pula bekerja sebagai guru tari di Indonesia manakala isterinya pula sebagai penyanyi di sana," kata Kang.

Siasatan awal polis mendapati heroin yang dirampas itu dipercayai diseludup masuk dari Pakistan dan Afghanistan dan untuk dijual secara borong di pasaran Indonesia.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan negara ini dijadikan sebagai transit untuk mereka membawa dadah berkenaan ke Indonesia dan kerjasama dengan polis Indonesia akan dilakukan untuk mencari sakibaki kumpulan terbabit," kata Kang.

Kesemua suspek direman enam hari bermula Sabtu lepas dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain