suria

Polis lumpuh sindiket nombor ekor haram di Kapar

KLANG: Polis menahan empat suspek termasuk dua wanita yang disyaki terbabit dengan sindiket nombor ekor haram dengan pertaruhan hampir RM2 juta sebulan di tingkat atas sebuah rumah kedai di pekan Kapar, dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang, ACP Mohamad Mat Yusop berkata dalam serbuan pada pukul 5.30 petang itu, polis turut merampas antara lain enam buah komputer, dua unit modem, enam telefon bimbit dan 128 helai kertas yang dicatat nombor pertaruhan.

"Semasa serbuan, anggota sindiket itu sedang memasukkan nombor pertaruhan ke dalam data komputer menerusi talian internet," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang di sini hari ini.

Katanya polis percaya sindiket itu sudah bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan tingkat atas sebuah restoran sebagai pusat mengumpul dan mengira nilai pertaruhan berjumlah antara RM360,000 hingga RM450,000 seminggu.

Beliau berkata semua suspek yang ditahan itu berusia antara 21 hingga 34 tahun dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 4(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. BERNAMA

Artikel Lain