suria

Naib Presiden Huan tolak sertai Pakatan jika keluar Gerakan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan yang digantung keahlian selama tiga tahun Jumaat lalu tidak akan menyertai komponen Pakatan Rakyat walaupun beliau keluar parti itu kelak.

"Saya rasa tidak, saya rasa tidak... bukan buat masa sekarang," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen pagi tadi.

Pakatan Rakyat terdiri daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Semalam Huan memberitahu mStar Online bahawa beliau akan keluar Gerakan jika hukuman menggantung keahliannya selama tiga tahun tidak ditarik balik.

"Kemungkinan keluar... jika keputusan (menggantung saya) tidak dikaji semula," kata beliau semalam.

Huan akan memutuskan mengenainya dalam tempoh dua minggu.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Gerakan memberi tempoh 14 hari kepada Huan untuk membuat rayuan berhubung hukuman tersebut.

Huan, yang pernah menyatakan hasrat untuk keluar Gerakan tetapi mengubah pendiriannya untuk kekal dalam parti itu minggu lalu, telah digantung keahlian selama tiga tahun malam Jumaat lalu.

Artikel Lain