suria

Lima lagi penghuni pusat serenti yang lari ditahan

BUTTERWORTH: Lima lagi penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang melarikan diri ketika rusuhan di pusat itu Jumaat lepas berjaya ditahan semula semalam.

Mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar Kubang Semang dan Padang Serai antara pukul 8 pagi dan 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Zulkifli Ilias ketika dihubungi berkata dengan penahanan itu, jumlah penghuni yang ditemui semula setakat ini ialah 16 orang.

Beliau berkata setelah semakan semula penghuni, jumlah mereka yang melarikan diri daripada pusat berkenaan sebenarnya ialah 30 orang, bukannya 27 seperti yang dilapor kelmarin.

"Ini bermakna terdapat 14 orang lagi yang belum ditemui dan usaha memburu mereka diteruskan," katanya.

Selain 16 penghuni yang ditahan semula setakat ini, dua orang awam yang memberi perlindungan kepada seorang penghuni itu turut ditahan pada kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Terdapat 522 penghuni yang menjalani pemulihan di Pusat Serenti Kampung Selamat dan kejadian rusuhan Jumaat lepas dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati sekumpulan penghuni yang ditahan di sel pusat itu kerana didapati positif dadah.

Tindakan penghuni yang berada di dalam sel memaki hamun pegawai dan petugas pusat itu menarik perhatian penghuni lain yang berada di luar sel dan akhirnya menimbulkan kekecohan serta rusuhan.

Ada di antara mereka yang bertindak membakar dan merosakkan 11 daripada 12 blok bangunan termasuk klinik, pusat latihan dan pejabat pentadbiran serta merosakkan beberapa kenderaan milik pusat itu. BERNAMA

Artikel Lain