suria

ROS belum dapat cukup maklumat isu PPP

JOHOR BAHRU: Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) masih belum mempunyai maklumat yang mencukupi bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung isu kepimpinan yang melanda Parti Progresif Penduduk (PPP), kata Timbalan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Marzuki Zainudin.

Beliau mengakui ada pihak yang mendesak ROS untuk mempercepat siasatan bagi menamatkan isu tersebut.

"Kita mahu menjalankan siasatan secara terperinci dengan mendapatkan segala maklumat daripada mereka yang terlibat dan bersikap adil sebelum dapat membuat sebarang keputusan mengenainya," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Pertubuhan anjuran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Johor di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan yang dijalankan tidak semudah yang disangkakan sesetengah pihak kerana ia melibatkan ramai individu selain menyentuh kestabilan politik negara.

Pada 4 Jun lepas, ROS memaklumkan bahawa Datuk M.Kayveas masih Presiden PPP yang sah dan sedang menyiasat terhadap aduan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan dalam PPP disamping meneliti maklumat dari semua pihak yang terlibat sebelum memuktamadkan siasatan.

Kayveas mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti tanpa bertanding pada mesyuarat agung PPP ke-56 manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah mengisytiharkan dirinya sebagai "presiden baru PPP" selepas mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Putrajaya pada 24 Mei lalu kerana mendakwa ia diadakan mengikut perlembagaan parti.

Dalam ucapannya Marzuki mengingatkan setiap 114,000 pertubuhan yang berdaftar di negara ini agar mengikut objektif penubuhan masing-masing.

ROS, katanya, tidak akan berkompromi dengan mana-mana pertubuhan yang tergelincir daripada objektif penubuhan dan menjadi kumpulan pendesak kerajaan semata-mata.

Katanya setiap pertubuhan mempunyai peranan yang besar di dalam pembangunan sosio ekonomi negara, selari dengan peranan yang dimainkan oleh sektor awam dan swasta.

Selain itu, beliau berkata, lebih kurang 400 pertubuhan dibatalkan setiap tahun kerana tidak mematuhi peraturan ROS yang antara lain disebabkan pemegang jawatan utama pertubuhan gagal menghantar penyata tahunan.

Ini disebabkan pemegang jawatan utama yang bertukar setiap dua tahun dan pemegang jawatan yang baru tidak tahu untuk mentadbir pertubuhan mereka, katanya.

"Sehingga kini kita belum ada cadangan untuk mewajibkan ahli-ahli pertubuhan perlu menghadiri kursus pengurusan pertubuhan sebelum layak memegang jawatan-jawatan utama," katanya. BERNAMA

Artikel Lain