suria

Najib arah PBT keluarkan lebih banyak lesen penjaja

TANJONG KARANG: Perdana Menteri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan lebih banyak lesen menjaja dan perniagaan kecil-kecilan tanpa terlalu banyak mengenakan tekanan dan halangan.

Ketika mengeluarkan arahan itu di sini malam tadi, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, "saya minta semua pihak berkuasa tempatan, tolong bantu peniaga dan penjaja dengan lebih banyak lesen dikeluarkan."

"Jangan ada sekatan atau tekanan yang tidak sepatutnya, tak mahu keluarkan lesen," kata beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri dengan Gabungan Persatuan-Persatuan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia di Padang Astaka di sini.

Dalam pertemuan pertama dengan ahli gabungan itu sejak dilantik Perdana Menteri, Najib yang juga Menteri Kewangan menambah, setiap PBT harus memastikan peniaga-peniaga dan penjaja-penjaja kecil terus mendapat pembelaan antaranya diberikan lesen niaga.

"Kalau nak berikan lesen, tolong bantu dengan memberikan lesen secepat yang mungkin.

"Kalau jalankan penguatkuasaan, lakukan dengan adil dan kalau ada lesen jangan ganggu (mereka)... kalau yang tiada lesen, tolong berikan lesen, jangan aniaya mereka.

"Bantulah mereka... kita sebagai kakitangan kerajaan, jalankan amanah yang diberikan kepada kita," tambah beliau.

Najib memberikan jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan dasar properniagaan dan berusaha menyokong golongan peniaga dan penjaja.

"Di atas pertimbangan inilah, kerajaan pada 27 Jun 2008 telah bersetuju supaya lebih banyak permit penjaja dan perniagaan kecil dikeluarkan terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah.

"Hasilnya sehingga April 2009, sebanyak 69,250 lesen baru telah dikeluarkan iaitu bersamaan dengan 227 lesen baru setiap hari," katanya.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan peruntukan RM500,000 kepada gabungan tersebut untuk tahun ini bagi memastikan pentadbiran peniaga dan penjaja dapat dikendalikan dengan lancar.

Artikel Lain