suria

MCA sedia berdialog dengan pembangkang termasuk DAP

KUALA LUMPUR: MCA hari ini mengulangi kesanggupannya untuk berdialog dengan mana-mana parti politik termasuk DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), demi kepentingan rakyat dan negara.

Presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat berkata ia bukan perkara baru, malah tahun lepas lagi semasa menyandang jawatan Naib Presiden MCA lagi beliau sudah menyatakan perkara itu.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata peluang berdialog akan memberi ruang kepada MCA serta rakyat untuk mengetahui sama ada DAP masih bersekongkol dengan PAS atau sebaliknya.

"Orang ramai hendak tahu juga bila berdialog nanti, setakat mana DAP ini sanggup maklumkan kepada rakyat bahawa yang ia (DAP) tidak lagi sekongkol dengan PAS, nak tahu juga setakat mana dia sanggup sekongkol atau tidak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Hari Keluarga Pandan Perdana 2009 di sini, hari ini.

Sementara itu pada majlis tersebut Ong turut mempersoalkan tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang berhasrat mengambil-alih pengurusan kemudahan yang diusahakan oleh Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) serta rukun tetangga di kawasan Pandan dan Ampang.

"Di sini saya nak soal apakah hak MPAJ nak paksa-paksa dan ambil alih kemudahan pengurusan seperti dewan-dewan yang terdapat disini. Semua kemudahan itu NGO yang usahakan dan apabila semuanya sudah siap tersedia, MPAJ nak ambil alih dan penduduk nak buat program di dewan berkenaan kena bayar. Kenapa perlu bayar, siapa yang bangunkan kemudahan itu?" soalnya. BERNAMA

Artikel Lain