suria

PAS tidak berminat bincang dengan Umno - Mustafa Ali

PETALING JAYA: PAS tidak berminat sama sekali untuk mengadakan perbincangan dengan Umno termasuk berkaitan dengan idea pembentukan kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

"Merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Krai, Kelantan semalam, saya ingin menegaskan bahawa Parti Islam Se-Malaysia tidak ada minat sama sekali untuk berbincang dengan Umno termasuklah atas isu kerajaan perpaduan buat waktu ini," kata Mustafa dalam kenyataan satu perenggan yang diemelkan pagi ini.

Kenyataan terbaru ini dikeluarkan tiga hari selepas Mustafa mengumumkan bahawa PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Umno-BN jika ia disertai bersama dua komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Laporan Bernama semalam yang memetik Muhyiddin menyebut, Umno mahukan perbincangan dengan PAS mengenai kerajaan perpaduan disegerakan dan meminta pemimpin PAS melupakan persengketaan lama bagi kepentingan perpaduan umat Islam di negara ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, beliau berharap perbincangan itu berjaya diadakan kerana jika perkara itu dibiarkan berlarutan akan timbul perpecahan di kalangan umat Islam.

"Kita tidak akan tetapkan apa-apa syarat dan kita terima apa saja syarat yang ditetapkan oleh PAS.

"Bagi saya kita perlu bersikap terbuka," kata beliau di Kuala Krai.

Kerajaan perpaduan: Pemimpin PAS tetap mahu disertai DAP, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain