suria

Kerajaan perpaduan: Pemimpin PAS tetap mahu disertai DAP, PKR

PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin PAS menegaskan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan hanya akan diteruskan jika ia melibatkan semua parti politik Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib berkata, isu kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno tidak timbul kerana perbincangan mengenainya.

"Apa lagi cakap tentang perpaduan PAS-Umno, itu semua sudah tidak timbul, kita sudah tetapkan jika nak berbincang bukan dua parti ini sahaja.

"Umno perlu faham mengenai perkara ini, PAS dah tetapkan pendirian untuk libatkan rakan dalam Pakatan Rakyat," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan perbincangan dengan PAS mengenai kerajaan perpaduan disegerakan dan meminta pemimpin PAS melupakan persengketaan lama bagi kepentingan perpaduan umat Islam di negara ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno meminta Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya melupakan sengketa yang pernah berlaku antara PAS dan Umno pada era 1970-an sewaktu kedua-dua parti bekerjasama membentuk kerajaan negeri Kelantan tetapi PAS kemudian keluar kerana masalah dalaman.

Dalam pada itu Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS tidak akan memberi respons mengenai idea kerajaan perpaduan ini sehingga ia dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat minggu hadapan.

"Saya tak nak layan orang hilang akal," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, hanya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang layak untuk memberi respons mengenai kenyataan itu.

"Saya tak layak untuk ulas kenyataan itu, tunggulah Presiden PAS yang jawab kenyataan itu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain