suria

Rais: Tindakan Nik Aziz minta Nasharuddin letak jawatan tidak wajar

KUALA LUMPUR: Tindakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS dan anggota Parlimen Bachok ekoran menyokong idea penubuhan kerajaan perpaduan, adalah tidak wajar.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Nasharuddin dipilih oleh perwakilan parti itu untuk bergandingan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menerajui parti itu.

Justeru, katanya keputusan untuk mendesak seseorang meletakkan jawatan haruslah datang daripada desakan majoriti ahli parti bukannya disuruh berbuat demikian oleh manamana individu.

"Kita tak nak masuk campur urusan parti itu. Tetapi apabila seseorang mengemukakan pandangan terutamanya dari segi perpaduan, takkanlah orang itu harus kita ketepikan sebagai pemimpin lagipun Nasharuddin dipilih oleh parti itu sendiri bukannya dipilih oleh Menteri Besar Kelantan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Kemerdekaan ke-52 di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz baru-baru ini meminta Nasharuddin meletakkan jawatan dalam parti dan anggota Parlimen kerana menyokong usaha menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno. BERNAMA

Artikel Lain