suria

Orang ramai diminta tampil beri maklumat berhubung PKPM

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mengetahui tentang kewujudan kumpulan Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) diminta tampil membuat laporan kepada polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis memerlukan kerjasama orang ramai supaya siasatan dapat diambil untuk memerangi kumpulan terbabit hingga ke akar umbi.

"Selain itu saya juga minta mereka yang pernah menyertai kumpulan haram ini agar tampil kepada polis, sebab mereka ini boleh dijadikan saksi dan keterangan mereka amat penting untuk siasatan.

"Adanya maklumat dan bukti yang cukup, kita boleh lumpuhkan anggota kumpulan ini," katanya dalam program Peranan Pemandu Teksi Dalam Memerangi Jenayah di Sunway Pyramid di sini semalam.

Beliau menafikan dakwaan kumpulan PKPM bahawa mereka bergiat aktif di sekitar Selangor.

"Bukan setakat di Selangor tetapi ahli kumpulan ini ada di merata tempat seluruh negara. Di Gombak (Selangor) hanyalah HQ kumpulan itu," kata Khalid.

Pada 15 Jun lepas, seramai 42 lelaki termasuk enam orang kanan ditahan setelah dikesan terlibat dalam cubaan menghidupkan semula pertubuhan haram itu yang pernah dilumpuhkan polis enam tahun lepas.

Antara yang ditahan ialah peneraju PKPM Nor Azami Ahmad Ghazali serta 36 bakal anggota yang hendak direkrut berusia dalam lingkungan 20an hingga 40an.

Mereka semua diberkas dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Gombak Jaya di sini dengan 36 daripada "rekrut" itu ditahan ketika menduduki peperiksaan kononnya sebagai syarat menyertai pertubuhan berkenaan.

Sementara itu, Khalid berkata buat pertama kali polis Selangor dan pemandu teksi di Selangor menjalinkan kerjasama bagi memerangi dan membanteras jenayah.

"Jika berlaku sebarang kejadian jenayah, mereka boleh terus laporkan perkara itu kepada polis...polis akan dapat bertindak segera dalam mengesan penjenayah," katanya. BERNAMA

Artikel Lain