suria

Indonesia mungkin henti hantar pembantu rumah ke Malaysia

JAKARTA: Indonesia kemungkinan menghentikan seketika penghantaran pembantu rumah ke Malaysia selepas seorang pembantu rumah Indonesia dilaporkan didera baru-baru ini, menurut agensi berita Indonesia, Antara.

"Kami kemungkinan menghentikannya (penghantaran pembantu rumah) sementara waktu. Namun sebelum itu, kami akan menjemput menteri-menteri dan pihak-pihak berkenaan bermesyuarat pada 23 Jun bagi membuat penilaian awal," lapor Antara yang memetik kenyataan Menteri Tenaga Manusia dan Transmigrasi, Erman Suparno semalam.

Beliau berkata, antara yang dijemput menghadiri mesyuarat tersebut adalah menteri mengenai pemerkasaan wanita, menteri luar negeri, menteri undang-undang dan hak asasi manusia, menteri dalam negeri, ketua polis dan duta Indonesia ke Malaysia serta wakil-wakil Malaysia.

Katanya, memandangkan keputusan yang akan dibuat pada mesyuarat itu akan memberi kesan sistemik, kementeriannya tidak dapat memutuskan sendiri berhubung penghantaran pembantu rumah tanpa mendapat maklum balas daripada pihak-pihak lain.

"Bagaimanapun, saya mahu menghentikannya sehingga mendapat maklum balas daripada kerajaan Malaysia mengenai perlindungan terhadap pekerja Indonesia di sana," katanya.

Perancangan untuk menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah itu disebabkan pelbagai masalah yang dihadapi pekerja Indonesia di Malaysia.

Kes terbaru membabitkan penderaan terhadap pembantu rumah, Siti hajar dari Limbangan, Garut, Jawa Barat.

Suparno sebelum itu berkata, delegasi dari dua negara dijadualkan berbincang pada 15 Julai bagi membincangkan pelbagai masalah yang dihadapi pekerja Indinesia di Malaysia.

Pada mesyuarat itu, delegasi Indonesia akan mencadangkan kajian semula terhadap beberapa perkara dalam perjanjian persefahaman berhubung kerjasama dalam bidang tenaga manusia yang ditandatangani awal tahun ini.

Perkara itu antara lain menyatakan hal-hal berkaitan perlindungan terhadap pekerja Indonesia dan hak mereka serta meningkatkan bayaran gaji.

"Jika tidak ada persetujuan yang dicapai berhubung perlindungan terhadap pekerja Indonesia, kita akan mempertimbangkan untuk menghentikan seketika penghantaran pembantu rumah," katanya.

Katanya, beliau telah berbincang mengenai hal itu dengan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Dr S. Subramaniam awal bulan ini ketika menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa ke-98 di Geneva. BERNAMA

Artikel Lain