suria

Umno bersikap terbuka cadangan kerajaan perpaduan - Najib

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno bersikap terbuka berhubung cadangan PAS untuk mewujudkan kerajaan perpaduan yang mesti berasas kepada kepentingan rakyat dan negara.

Presiden Umno itu berkata beliau tidak menolak kemungkinan bagi mengadakan perjumpaan untuk berbincang memandangkan keduadua pihak belum ada apa-apa rundingan secara rasmi lagi.

"Kita tengok dulu perkembangannya sebab ini pada peringkat awal lagi dan yang penting sekali ialah untuk kebaikan rakyat dan negara," kata kepada pemberita selepas merasmikan Hotel Four Points By Sheraton, yang dibangunkan Global Upline Sdn Bhd, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bahawa PAS mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP turut dilibatkan dalam perbincangan dengan Umno berhubung isu itu.

Mustafa berkata di Kuala Lumpur hari ini, PAS tidak akan mengkhianati rakan seperjuangan yang telah samasama berjanji demi mencapai citacita politiknya.

Najib yang turut melancarkan landasan tambahan sepanjang 3,780m di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), dibangunkan syarikat yang sama, berkata kedua-dua projek bernilai sejumlah RM1 bilion, termasuk pelaburan RM800 juta untuk membinaan landasan tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri yakin jumlah pelancong akan meningkat dengan banyak dengan bermulanya "era baru dalam perjalanan udara dan hubungan" sekiranya keunikan dan tarikan Sarawak dipromosikan secara besarbesaran di peringkat antarabangsa.

Beliau juga berharap hotel 420 bilik itu, yang dibina dalam tempoh singkat 11 bulan, yang turut dilengkapi kemudahan untuk mesyuarat dan persidangan akan dapat memenuhi keperluan penduduk tempatan dan juga antarabangsa.

Menyifatkan penasihat Global Upline Sdn Bhd Tan Sri Ting Pek Kiing sebagai tokoh korporat yang memiliki semangat keusahawanan yang jitu, Najib berkata pelaburan syarikat itu dalam dua projek berkenaan telah menyuntik motivasi kepada syarikat tempatan manakala pada kemuncak pembinaan hotel itu, 3,000 pekerja digaji.

Perdana Menteri berkata rakyat juga dapat mengaitkan pembangunan Malaysia secara keseluruhannya adalah sama penting dengan mengekalkan semangat kebangsaan dan integrasi antara negeri-negeri.

"Kita perlu mempunyai perasaan yang kita rapat antara satu sama lain, yang kita terdiri daripada satu negara, satu bangsa Malaysia dan mempunyai satu impian untuk masa depan yang lebih baik di bawah konsep 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata kerajaan negeri sedang mengkaji kemungkinan bagi penerbangan "OneHop Flight" dari Eropah berikutan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Kucing yang kini mampu menampung pendaratan Airbus 380 dan Boeing 747.

Beliau yakin lapangan terbang yang telah dinaik taraf itu yang beliau sifatkan sebagai "kejayaan teknikal" akan meningkatkan industri pelancongan Sarawak terutamanya ekopelancongan.

"Ia merupakan satu cabaran amat besar untuk menyiapkan projek ini tetapi akhirnya ia berjaya disiapkan. Syukur kepada tuhan," kata Ting, yang terkenal dengan keupayaannya menyiapkan projek dengan cepat.

Syarikat beliau telah mencatatkan kemajuan besar dalam tempoh 10 tahun lepas sejak memulakan operasi pada 2000 dengan projek pembinaan lapangan terbang baru Bintulu. BERNAMA

Artikel Lain