suria

Tanah dirampas jika pemilik terus gagal jelas tunggakan cukai

KUALA LUMPUR: Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) hari ini memberi amaran akan merampas tanah daripada para pemilik yang terus gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah masing-masing.

Pengarahnya Hasim Ismail berkata tindakan itu terpaksa dilakukan bagi mengatasi masalah tunggakan cukai tanah yang tinggi oleh para pemilik tanah, sama ada syarikat mahupun individu.

Syarikat yang mempunyai tunggakan cukai tanah melebihi tiga tahun atau jumlah tunggakan melebihi RM100,000 serta individu yang mempunyai tunggakan cukai tanah melebihi lima tahun atau jumlah tunggakan melebihi RM50,000 akan terlibat dalam tindakan itu, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar pentadbiran tanah di sini hari ini.

Seminar itu dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Hasim berkata 22 kes mungkin akan terlibat dengan tindakan itu, yang akan diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah PTGWPKL yang dipengerusikan oleh Raja Nong Chik pada 23 Julai ini.

Sementara itu Raja Nong Chik meminta penduduk setinggan di tanah kerajaan di Wilayah Persekutuan supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berpindah ke unit-unit rumah yang disediakan.

PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), katanya memerlukan kerjasama mereka bagi membolehkan ia melaksanakan projek-projek pembangunan di kawasan pentadbirannya tanpa sebarang masalah.

"Macam insiden penduduk setinggan yang membantah untuk berpindah di Jinjang Selatan Tambahan pada 15 Jun lepas, mereka perlu berpindah kerana kedegilan mereka hanya akan melewatkan projek membina lebuh raya yang akan memendekkan jarak dan masa perjalanan antara Jalan Kuching dengan Kepong," katanya.

Raja Nong Chik berkata DBKL tidak bersifat kejam dalam tindakannya meroboh rumah-rumah setinggan di situ kerana penduduk terlibat telah diberi masa secukupnya untuk berpindah.

DBKL telah berunding dengan penduduk setinggan terbabit selama setahun, menyediakan kediaman baru kepada mereka selain memberi bantuan kewangan.

Pada masa ini masih ada kira-kira 5,000 rumah setinggan di Wilayah Persekutuan, katanya. BERNAMA

Artikel Lain