suria

Sepasang kekasih ditahan dalam kejadian samun van keselamatan

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih yang dipercayai dalang kejadian samun van keselamatan yang membabitkan kerugian bernilai RM250,000 di Menara Perkeso, Jalan Ampang, di sini, minggu lepas, telah ditahan di Rompin, Pahang, semalam.

Hasil maklumat orang ramai dan risikan, polis berjaya mengesan suspek berumur 38 tahun itu di sebuah bengkel membaiki kereta di Rompin pada pukul 7.40 malam manakala teman wanitanya berusia 26 tahun ditahan tidak lama selepas itu di pekan yang sama.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata ketika tangkapan dibuat suspek sedang menunggu kereta yang digunakan untuk melarikan diri setelah mendapati kereta yang dinaiki itu mengalami kerosakan.

"Hasil tangkapan itu polis berjaya merampas semula wang tunai dipercayai hasil samun berkenaan berjumlah RM113,450 daripada teman wanita suspek manakala RM5,250 ditemui bersama suspek di dalam beg pinggangnya.

"Kita akan siasat ke mana perginya wang yang selebihnya tetapi kita difahamkan suspek menggunakan wang itu untuk membayar hutang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras di sini hari ini.

Katanya, polis turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenis, dua bentuk cincin emas, dan sebuah kereta jenis Pajero yang digunakan suspek untuk melarikan diri.

Ahmad Amir berkata polis mengambil masa tujuh hari untuk memjejaki suspek kerana pada mulanya polis mengesan suspek di Petaling Jaya, Selangor sebelum melarikan diri ke Ipoh, Perak, dan membeli kereta di sebuah pusat jualan kereta terpakai.

"Suspek bergerak ke Dungun, Terengganu dan singgah di Rompin dipercayai untuk mengambil teman wanitanya bagaimanapun apabila tiba di Rompin kereta yang dipandu suspek rosak lalu dihantar ke bengkel yang membawa kepada penahanan tersebut," katanya.

Sebelum itu, katanya, polis menahan isteri suspek berusia 30an, di rumahnya di Taman Bukit Subang, Shah Alam, pada 9 Jun bersama wang tunai sejumlah RM1,150 yang dikirimkan oleh suspek dari Ipoh bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun. isteri suspek dibebaskan dengan jaminan polis kerana mendapati dia tidak terbabit dalam kejadian samun itu itu.

Sebelum ini dilaporkan sejumlah wang tunai RM500,000 dalam van perisai lesap manakala pemandunya turut menghilangkan diri selepas tiga pengawal keselamatan membuat kutipan di Menara Perkeso, Jalan Ampang, di sini pada kira-kira pukul 6.30 petang, 8 Jun lepas. BERNAMA

Artikel Lain