suria

Perhimpunan haram: Lima bekas pelajar universiti didenda RM3,900

KUALA LUMPUR: Lima bekas pelajar universiti masing-masing dijatuhkan hukuman denda RM3,900 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah didapati bersalah berada dalam satu perhimpuan haram di hadapan Masjid Negara, di sini, lapan tahun lalu.

Majistret Azniza Mohd Ali menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah.

Lima bekas pelajar tersebut ialah Nik Norhafizi Nik Ibrahim, 29, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zulkefle Idris, 29, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ahmad Kamal Abdul Hamid, 28, UKM, Rafzan Ramli 32, Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Khairul Amal Mahmud, 28, dari Universiti Malaya.

Azniza bagaimanapun melepas dan membebaskan seorang lagi bekas pelajar yang dituduh bersama mereka iaitu Helman Sanuddin, 32, dari UiTM selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967, kerana berada dalam perhimpunan anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di perkarangan Masjid Negara, Jalan Perdana di sini, antara pukul 2 petang dan 2.15 petang, 8 Jun 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara setahun atau didenda RM10,000, mengikut akta yang sama.

Seramai 13 saksi pendakwaan dan 11 saksi pembelaan telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd. Abas manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahmud, Amer Hamzah Arshad dan Latheefa Beebi Koya. BERNAMA

Artikel Lain