suria

Peguam sahkan Nizar fail rayuan esok

PUTRAJAYAL: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Seorang daripada peguam Mohammad Nizar, Leong Cheok Keng, ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa permohonan itu difailkan di Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya kerana tempoh akhir 30 hari bagi mengemukakan rayuan tamat pada Isnin.

Ditanya bagaimana beliau akan melakukan tanpa penghakiman bertulis, beliau berkata mereka tidak mempunyai pilihan dan pasukan peguam mereka akan melakukan yang terbaik untuk merangka soalan berhubung perkara undangundang mengenai keputusan lisan Mahkamah Rayuan.

"Sudah pasti kami kebingungan kerana hanya seorang hakim (Datuk Md Raus Shariff) menyatakan hasil keputusannya. Keduadua hakim yang lain tidak menyatakan apa-apa, tetapi kami akan melakukan yang terbaik."

Hakim Md Raus, dalam penghakiman lisannya pada 22 Mei, mendapati bahawa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membuat keputusan yang betul ketika melantik Zambry sebagai menteri besar yang baru, berdasarkan Perkara 16(2) Undangundang Tubuh Kerajaan Perak, selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri.

Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah, Hakim Md Raus yang bersidang bersama Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop, mendapati bahawa Sultan Perak bertindak betul dengan bertanya sendiri untuk memuaskan hati baginda bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

Perebutan jawatan Menteri Besar Perak bermula apabila tiga daripada wakil rakyat pakatan DAPPKRPAS keluar parti dan menyatakan sokongan mereka kepada Barisan Nasional pada Februari.

Mohammad Nizar, 52, kemudiannya memfailkan semakan penghakiman untuk memohon satu writ bersifat "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry bagi menyatakan tunjuk sebab atas asas apakah beliau menjadi menteri besar yang sah. BERNAMA

Artikel Lain