suria

Najib jamin selesai masalah perkhidmatan kesihatan di Kuching

KUCHING: Kerajaan Persekutuan semalam memberi jaminan akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah perkhidmatan kesihatan yang kini dihadapi penduduk bandar raya Kuching.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah diminta mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan bagi mencari jalan penyelesaian dengan segera.

"Kita ada solution (penyelesaian) yang boleh dipertimbangkan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama rakyat sempena lawatan kerja dua hari ke Sarawak. Turut hadir Abdul Taib.

Tanpa menyatakan secara terperinci jalan penyelesaian yang telah dipertimbangkan, Najib berkata masalah perkhidmatan kesihatan di bandar raya Kuching sudah lama dan perlu diselesaikan selaras dengan dasar kepentingan rakyat yang diutamakan oleh kerajaan kini.

Pemimpin parti politik dari Barisan Nasional (BN), pembangkang, pengamal perubatan dan orang awam sebelum ini meminta kerajaan pusat membina sebuah lagi hospital di Kuching memandangkan satu-satunya hospital kerajaan di Kuching iaitu Hospital Umum Sarawak (HUS) kini mengalami kesesakan yang teruk.

Selain kesesakan di wad, HUS yang mempunyai 800 katil juga mengalami kesesakan tempat letak kereta sehingga menyukarkan doktor, jururawat dan petugas hospital itu meletak kenderaan mereka.

Antara jalan penyelesaian yang pernah dicadangkan ialah pembinaan hospital kerajaan kedua di Petra Jaya di sini. BERNAMA

Artikel Lain