suria

Lelaki laku sumbang mahram dipenjara 17 tahun dan 10 sebatan

KOTA BAHARU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang lelaki yang melakukan sumbang mahram dua tahun lalu sehingga anak sulungnya itu melahirkan anak.

Lelaki berusia 44 tahun, yang merupakan seorang tukang rumah, kelihatan tenang ketika Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan melakukan sumbang mahram itu.

Wan Fadhilah Nor menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun dan lima sebatan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan hukuman dijalankan secara serentak.

Lelaki, yang mempunyai enam orang anak itu, dituduh melakukan sumbang mahram terhadap anaknya yang ketika itu berusia 16 tahun pada awal Jun 2007 dalam sebuah bilik di rumah mereka di Kampung Bukit Belah, Machang dan mengulanginya pada pertengahan Jun 2007 di tempat yang sama.

Selepas disahkan mengandung selama 24 minggu, ayah saudara kepada mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Machang, dan ujian DNA yang dilakukan di Jabatan Kimia, mengesahkan tertuduh adalah bapa kepada anak yang berada dalam kandungan mangsa.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Lain