suria

Hasrat 219 jemaah tunai umrah musnah apabila ditipu

KUALA TERENGGANU: Hasrat 219 jemaah di Terengganu dan Kelantan untuk menunaikan umrah, musnah apabila dikatakan ditipu sebuah syarikat yang kononnya menawarkan perkhidmatan kepada mereka yang mahu mengerjakan ibadah itu.

Ketua Jabatan Jenayah Komersial Negeri Supt Azmi Adam berkata kesemua mangsa telah membayar wang tunai RM534,000 kepada syarikat terbabit yang beralamat di Sentul, Kuala Lumpur.

"Berikutan itu, kami menahan seorang lelaki di Sentul pada pukul 9 malam dua hari lepas untuk membantu siasatan berhubung kes penipuan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata seorang pesara Jabatan Pelajaran Terengganu, pengadu yang juga mangsa dalam kes itu, ditawarkan syarikat terbabit untuk mencari mereka yang hendak menunaikan umrah dengan harga pakej RM3,500 seorang.

Azmi berkata pengadu berjaya mengumpulkan 219 orang, majoritinya dari Besut, Terengganu dan Kelantan serta mengutip wang sebanyak RM534,000 sebelum memasukkan wang itu ke dalam akaun syarikat berkenaan.

Beliau berkata syarikat itu menjanjikan penerbangan mengerjakan ibadah itu pada awal bulan ini tetapi apabila tiba masanya, penerbangan dibatalkan dan syarikat berkenaan menawarkan penerbangan kedua kepada kesemua mangsa pada bulan Ramadan ini dengan harga pakej yang serupa.

Merasakan dirinya tertipu, beliau berkata pengadu berumur 60 tahun dan berasal dari Besut itu, membuat laporan polis di Besut pada 10 Jun lepas.

Azmi berkata berikutan laporan itu, polis menahan pemilik syarikat terbabit berusia 37 tahun dan suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian lain, beliau berkata polis menahan tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 20 dan 29 tahun di sini dan Marang semalam, kerana dipercayai menipu Yayasan Terengganu.

Penipuan itu membabitkan dokumen palsu permohonan bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam, katanya. BERNAMA

Artikel Lain