suria

Bayi perempuan ditemui depan rumah

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan yang dibalut dengan tuala ditinggalkan di hadapan pintu sebuah rumah di Jalan USJ 2/4S Subang Jaya, dekat sini hari ini.

Bayi yang masih mempunyai tali pusat, lengkap berpakaian dan dibalut dengan tuala berwarna oren itu ditemui pemilik rumah berkenaan pada kirakira pukul 6.30 pagi ketika lelaki berusia dalam lingkungan 60an itu pulang dari solat Subuh di masjid.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata sebuah beg yang berisi beberapa helai lampin bayi, sepasang baju bayi, sepasang sarung tangan serta kaki, satu botol susu, satu tin susu bayi dan wang tunai RM1 ditemui di sisi bayi itu.

"Siasatan masih dibuat bagi menentukan tempoh kelahiran dan keturunan bayi itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Pemandu Teksi Dalam Memerangi Jenayah' di Sunway Pyramid dekat sini hari ini.

Beliau berkata bayi terbabit dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut. Zainal Rashid meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Subang Jaya di talian 03-89481412 bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Lain