suria

Tayar lori dijadikan tempat membuang bayi

KUALA LUMPUR : Selepas tong sampah, kini tayar lori yang dikitar semula pula dijadikan tempat membuang bayi akibat perbuatan segelintir pihak yang tidak berperikemanusiaan.

Terbaru seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam tayar lori yang dikitar semula yang dijadikan penanda arah di Kampung Tuah, Bukit Sentosa, Hulu Selangor dekat sini pada kira kira 12 tengah hari tadi.

Bayi lelaki itu ditemui oleh seorang guru tadika dalam keadaan yang masih mempunyai tali pusat dan dibalut dengan kain.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Affandi Yahya berkata guru tadika itu dalam perjalanan pulang ke asrama asuhan dan ketika melalui laluan masuk ke kampung itu, beliau terkejut melihat bayi lelaki di dalam tayar yang dijadikan penanda arah itu.

"Keadaanya sihat, masih bertali pusat dan tidak mempunyai sebarang kecederaan...Tiada nota atau wang ditinggalkan bersamanya...Kami percaya bayi itu baru diletakkan di situ," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

LAGI

POLISBAYI 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Beliau berkata polis yang tiba selepas dimaklumkan terus membawa bayi yang tidak berdosa itu ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan lanjut dan polis sedang menyiasat kes berkenaan.

Bayi lelaki itu akan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk sementara waktu, katanya.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 0360641222 atau balai polis berhampiran.

Semalam Bernama melaporkan dua kes pembuangan bayi di Kajang, Selangor dengan seorang daripadanya ditemui sudah meninggal dunia di dalam plastik sampah di Surau AlIkhlas di Sungai Chua.

Mayat bayi perempuan itu ditemui oleh seorang kanak-kanak kira kira 5.30 petang dengan dikerumuni ulat dan lebam.

Seorang lagi bayi dipercayai lelaki pula ditemui di hadapan sebuah rumah di Sungai Ramal kirakira pukul 6.30 pagi semalam.

Bayi itu dijumpai masih hidup dengan dibalut kain dan polis turut menemui wang tunai RM500 bersamanya. BERNAMA

Artikel Lain