suria

SIMC untuk rawatan sementara Influenza A

KUCHING: Kerajaan negeri bersetuju untuk membenarkan Pusat Perubatan Antarabangsa Sarawak (SIMC) di Kota Samarahan di sini yang baru siap dibina digunakan sementara untuk merawat pengidap Influenza A (H1N1), kata aktivis sosial Datuk Ang Lai Soon.

Beliau yang juga Pengerusi dan Komander Persatuan St John Ambulans Sarawak, berkata langkah tersebut akan banyak membantu Jabatan Perubatan Sarawak kerana lebih 300 katil dapat disediakan di pusat tersebut.

"Lebih banyak nyawa boleh dirawat dan diselamat dan kami berterima kasih kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan kerajaan negeri di atas kebenaran itu," katanya dalam satu kenyataan berikutan pelancaran Hari Bendera St John Ambulans Sarawak oleh Taib yang juga presiden persatuan itu, di sini semalam.

Ang berkata beliau telah bercakap dengan Taib berkenaan perkara itu dan Taib sangat bersetuju dengan cadangan untuk menjadikan SIMC sebagai pusat rawatan sementara Influenza A (H1N1).

Beliau berkata SIMC yang direka bentuk dan dibina dengan bantuan dan nasihat kepakaran dari hospital terkemuka dunia seperti Klinik Mayo di Rochester, Amerika Syarikat, akan memberi banyak manfaat kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapat rawatan kepakaran.

SIMC beroperasi sejak tahun lalu, sebagai kakak kembar kepada Pusat Kepakaran Perubatan Normah di sini tetapi akan memberi perkhidmatan yang lebih meluas dan khusus untuk rawatan jantung, buah pinggang dan kanser. BERNAMA

Artikel Lain