suria

Polis rampas RM160,000 syabu di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis menahan lima orang termasuk seorang wanita dan merampas dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM160,000 di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Bandaraya ACP Ahmad Sofi Zakaria berkata tangkapan pertama dibuat di Inanam pada kira-kira pukul 2.10 petang membabitkan dua lelaki berusia antara 24 dan 46 tahun serta seorang wanita berusia 31 tahun di dalam sebuah kereta Perodua Kancil.

Melalui tangkapan itu, polis Bahagian Narkotik Kota Kinabalu merampas dua paket dadah jenis syabu seberat lebih kurang 100 gram yang dianggar bernilai RM54,000 yang ditemui dalam beg wanita terbabit, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata tangkapan kedua membabitkan dua lelaki berumur antara 24 dan 70 tahun dibuat kira-kira 10 minit kemudian di hadapan sebuah kedai makan di kawasan itu.

"Polis menemui satu bungkusan plastik berisi syabu seberat 50 gram yang dianggar bernilai RM27,000," katanya.

Ahmad Sofi berkata siasatan lanjut polis turut menemui tiga paket syabu seberat 150 gram dianggar bernilai RM81,000 dalam seluar dalam seorang daripada lelaki yang ditahan dalam tangkapan pertama itu.

Lelaki itu kemudian ditahan pada pukul 3 petang di kawasan balai polis daerah Kota Kinabalu, katanya. BERNAMA

Artikel Lain