suria

Permohonan saman Sivakumar didengar 17 Julai

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 Julai ini untuk mendengar kes saman bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar terhadap Speaker Datuk R.Ganesan untuk menuntut ganti rugi serangan, ganti rugi salah penahanan dan ganti rugi teruk.

Hakim Datuk Azhar Mohamed juga menetapkan tarikh itu bagi mendengar permohonan Ganesan untuk membatalkan saman terhadapnya oleh Sivakumar, demikian menurut peguam utama Sivakumar, Chan Kok Keong, yang bercakap kepada pemberita selepas kes itu disebut di kamar hakim hari ini.

Pada hari itu juga, mahkamah akan mendengar permohonan defendan untuk meminta plaintif membayar wang jaminan kos RM100,000, yang dijangka dikemukakan oleh barisan peguam bela Ganesan diketuai Datuk Hafarizam Harun.

Sivakumar melalui writ saman yang difailkan melalui Tetuan Chan & Associates di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh di sini pada 15 Mei lepas juga memohon injunksi bagi menghalang defendan atau pekerja atau ejen Ganesan daripada menafikannya daripada memasuki persidangan DUN atau melarang atau menyekatnya dalam apa jua cara daripada memegang jawatan atau menjalankan tugas beliau sebagai Speaker DUN yang sah.

Beliau juga memohon satu lagi injunksi bagi menghalang sebarang penderitaan, serangan atau pemukulan yang seterusnya oleh Ganesan atau pekerja atau ejen defendan. Dalam pernyataan tuntutan itu, Sivakumar mendakwa yang dia masih merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh dan Speaker DUN.

Beliau juga mendakwa yang Ganesan bukan seorang anggota yang diundi sebagai Adun maka kehadirannya pada sebarang persidangan DUN merupakan satu penghinaan DUN. Sivakumar turut mendakwa pada 2 petang 7 Mei lepas, beliau sedang mempengerusikan suatu mesyuarat DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan sahnya menduduki kerusi beliau di persidangan itu, pekerja atau ejen defendan telah menyerangnya dengan menangkap beliau dengan ganas, mengheret dan secara keras mengusirnya dari dewan itu atas arahan defendan.

Beliau mendakwa semasa ketidakhadirannya secara paksaan, defendan telah secara salah menjawat dirinya sebagai Speaker yang menduduki kerusi Speaker dan memakai pakaian rasmi Speaker. BERNAMA

Artikel Lain