suria

Penganalisis politik anggap kenyataan Nik Aziz keterlaluan

PETALING JAYA: Tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden dan Ahli Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan dilihat sebagai keterlaluan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata Nik Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tindakan tersebut akan lebih mengeruhkan lagi hubungan sesama ahli dalam PAS.

"Bagi saya tindakan Nik Aziz itu agak keterlaluan kerana beliau tidak boleh terikat dengan gaya politik dan pemikiran konservatif," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaru Nik Aziz itu yang turut menyifatkan cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam PAS serta pakatan pembangkang.

Bagaimanapun Ahmad berkata pada dasarnya Nik Aziz tidak melihat tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengesyorkan mengenai kerajaan perpaduan tersebut akan memberi kebaikan kepada parti itu.

"Nik Aziz tak nampak tindakan Hadi itu adalah untuk hidupkan kembali karier politik PAS yang hampir ditelan oleh PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP.

"Adalah lebih baik PAS berkawan dengan Umno...kawan tak semestinya nak kahwin, kawan untuk kebaikan bersama," katanya.

Malah Ahmad berkata Nik Aziz masih fobia dengan kerajaan campuran yang terjalin antara Umno-PAS pada tahun 1973-1977.

"Jelas kelihatan Nik Aziz masih takut dan fobia dengan pengalaman lalu sewaktu PAS menjalinkan hubungan dengan Umno hingga terbentuknya kerajaan campuran.

"Tapi itu semua kisah lama dan Nik Aziz perlu lebih terbuka dalam soal ini.

"Saya tak boleh kata Nik Aziz tak matang dalam soal ini kerana beliau adalah orang lama dalam bidang politik, tapi sememangnya tindakan beliau kali ini memang tak tepat," katanya.

Kata Ahmad lagi tindakan Nik Aziz membantah pembentukan kerajaan perpaduan juga seakan mahu terus menanam sikap benci dan marah kepada Umno.

"Kenapa benci sangat dengan Umno, mereka sudah banyak berubah dengan menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang tidak berkualiti.

"Kita perlu beri mereka peluang... kalau kerajaan campuran dulu gagal, tak semestinya idea kerajaan perpaduan yang disyorkan kini juga akan gagal," katanya.

Sementara itu Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siva Murugan Pandian pula berkata, Nik Aziz seharusnya mengelak membuat kenyataan seperti itu kerana ia hanya akan mengeruhkan lagi hubungan dalaman PAS.

"Kenyataan itu hanya akan memanjangkan lagi masalah dalaman dalam PAS yang berlanjutan sejak isu kerajaan perpaduan mula dibangkitkan," katanya.

"Perkara ini akan menimbulkan kesan besar terutamanya kepada penyokong Nasharuddin kerana beliau baru sahaja mengekalkan jawatanya sebagai Timbalan Presiden PAS," katanya.

Artikel Lain