suria

Malaysia-China: Najib mahu "bergerak lebih pantas dan jauh"

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau mahu "bergerak lebih pantas dan jauh" dalam membangunkan hubungan dua hala Malaysia dengan China.

Beliau berkata Beijing meletakkan kedudukan amat tinggi daripada segi pertimbangan dasar luar Kuala Lumpur dan lawatan ke negara itu baru-baru ini, yang pertama di luar Asean sejak mengambil alih kepimpinan negara, menekankan kepentingan strategik China kepada Malaysia.

Dalam konteks hasrat beliau untuk "bergerak pantas dan jauh", Najib berkata beliau mahu melihat lebih ramai rakyat China melawat Malaysia untuk membolehkan negara ini lebih dikenali di kalangan rakyatnya di samping mempunyai pemahaman lebih baik tentang Malaysia.

Najib melawat China awal bulan ini sempena ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik Malaysia dengan negara itu, apabila Perdana Menteri Kedua Malaysia yang juga ayahandanya allahyarham Tun Abdul Razak melawat China pada 1974, menjadikan Malaysia sebagai negara Asean pertama mengadakan jalinan diplomatik dengan China.

"Ia bukan sekadar mengikut jejak langkah (ayahanda saya). Saya mahu bergerak lebih pantas dan jauh (dalam membangun hubungan Malaysia-China)," kata Perdana Menteri dalam satu rancangan bual bicara rangkaian televisyen China, CCTV's "Toptalk" yang disiarkan oleh Astro Awani malam tadi.

Najib berkata China telah membangun dengan pesat dan transformasi yang dilakukan negara itu dalam tempoh masa yang singkat amat luar biasa.

"Saya mahu melihat hubungan ini semakin kukuh dan lebih erat... mengambil peluang daripada pelbagai bentuk, contohnya seperti usahasama antara Petronas dan syarikat minyak China di Sudan. Ini merupakan satu bentuk usahasama yang perlu dicontohi syarikat lain," katanya.

Najib berkata China juga boleh melihat Malaysia sebagai pusat pengeluaran atau malahan sebagai pusat rangkaian pemasaran kerana Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri.

Dalam konteks China-Asean, Najib berkata kerjasama perdagangan lebih besar dan lebih banyak aliran bebas perkhidmatan serta barangan akan mewujudkan lebih banyak kekayaan, sekaligus memberi manfaat kepada Asean yang mempunyai pasaran kirakira 570 juta orang termasuk China.

Mengenai tampuk pemerintahannya sebagai Perdana Menteri, Najib, yang sebelum ini seorang menteri dan kemudiannya timbalan perdana menteri, berkata terdapat perbezaan besar antara menjadi seorang menteri dan timbalan perdana menteri dan jurang lebih besar apabila menjadi seorang timbalan perdana menteri dan perdana menteri.

Mengenai kemelesetan ekonomi dunia, Najib berkata rakyat Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa secara umumnya kerana ia tidak begitu memberi kesan kepada Malysia berbanding dengan banyak negara lain.

Beliau berkata ia sebahagiannya adalah kerana sistem perbankan yang kukuh, dengan negara mempunyai kecairan yang mencukupi dan pada masa sama harga komoditi seperti kelapa sawit di pasaran dunia kembali pulih.

Beliau berkata rakyat tidak menyalahkan kerajaan berhubung keadaan ekonomi semasa kerana mereka tahu bahawa ia berlaku disebabkan faktor luaran.

Rakyat juga mengharapkan ekonomi akan pulih kerana kerajaan telah mengumumkan dua pakej rangsangan ekonomi, katanya.

Mengenai laman blog 1Malaysia beliau, Najib berkata beliau mewujudkannya sebagai satu perantara kerana beliau perlu menggunakan satu bentuk komunikasi generasi baru, yang menyaksikan sebahagian besar mereka berkomunikasi menerusi alam siber.

Menjawab soalan mengenai 1Malaysia, Najib berkata impiannya adalah satu rakyat, satu negara.

"Ia seperti satu perjalanan sebagaimana perkaraperkara lain tetapi sekurangkurangnya mempunyai satu idea ke mana arah tujuannya dan rakyat mempunyai pemikiran bahawa ada satu arah. Pastinya ini tidak dapat berlaku sekelip mata," katanya.

Mengenai penilaiannya sendiri terhadap bentuk ketokohannya sebagai seorang ahli politik, Najib berkata beliau mahu melihat dirinya sebagai seorang pemimpin yang mempunyai kepercayaan tertentu dan seseorang yang mempunyai idea ke arah mana Malaysia dan rakyatnya mengatur langkah dan menjadi pemimpin yang dapat melaksana dan menghasilkan sesuatu.

"Saya mahu dikenali sebagai pemimpin yang dihormati dan disayangi ramai orang, bukannya seorang pemimpin yang digeruni. Saya mahu mereka merasainya di dalam hati. Saya berada di sini untuk membela kepentingan mereka. Saya mahu dikenali sebagai perdana menteri rakyat. Namun, hanya masa akan menentukan," kata Najib. BERNAMA

Artikel Lain