suria

Kilang tempatkan arang terbakar

BUTTERWORTH: Orang ramai terutama pekerja di kawasan Perusahaan Perai di sini gempar selepas sebuah kilang menempatkan arang di situ terbakar dan mengeluarkan asap hitam petang semalam.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Wan Azmi Ahmad berkata asap kebakaran kilang Century Chemical kelihatan hitam kerana mengandungi karbon daripada arang yang terbakar tetapi ia tidak membahayakan.

Katanya arang berkenaan digunakan sebagai bahan bakar bagi memproses bahan kimia di kilang Century Chemical.

"Kebakaran berlaku kira-kira pukul 6 petang sebelum disedari beberapa pekerja di kilang Century Chemical lalu menghubungi pihak bomba," katanya kepada pemberita ditempat kejadian di sini semalam.

Beliau berkata tujuh jentera bomba dari Prai, Bandar Perda dan Bukit Mertajam dengan 39 anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pukul 6.05 petang.

Wan Azmi berkata kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira pukul 6.27 petang, dengan mendapat bantuan tujuh pasukan bomba sukarela dari Chain Ferry, Sungai Puyu, Bukit Mertajam serta Machang Bubok.

"Tiada kecederaan dilaporkan manakala punca kejadian masih disiasat," katanya. Sekumpulan wartawan yang membuat liputan kebakaran berkenaan bertukar hitam dan comot berikutan asap tebal yang mengandungi karbon itu. BERNAMA

Artikel Lain