suria

Kes tempatan pertama Influenza H1N1 dikesan

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mencatatkan kes penularan tempatan pertama influenza A(H1N1) melibatkan seorang pelajar perempuan 17 tahun warga Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan hari ini berkata pelajar perempuan itu, yang merupakan kes ke19 positif influenza A, tidak mempunyai sejarah melawat negara yang telah diisytiharkan berlaku wabak itu.

Katanya pelajar itu menunjukkan simptom batuk dan selsema pada 14 Jun lepas, jam 9 malam dan mula demam keesokan harinya dan pada pagi 15 Jun pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada jam 10 pagi.

"Semasa penyiasatan, kes ke-19 ini melaporkan bahawa beliau adalah kontak kepada kes ke12 iaitu pelajar perubatan yang telah disahkan positif Influenza A (H1N1) pada 13 Jun lepas. Namun sebelum ini beliau tidak pernah diisytiharkan sebagai salah seorang kontak kepada kes ke-12.

"Ini menyebabkan pengawasan dan kurantin awal ke atas kes ke19 ini gagal dilakukan dan menyebabkan 20 orang lagi (kontak) terdedah kepada jangkitan influenza A(H1N1)," katanya.

Justeru itu, Dr Mohd Ismail berkata adalah penting semua kes yang disahkan positif wabak ini memberikan kerjasama dan maklumat lengkap agar pengawasan dan kuarantin awal dapat dilakukan kepada semua kontak mereka dan seterusnya mengelakkan risiko penularan kepada orang lain.

Beliau berkata lima lagi kes influenza A(H1N1) dikesan termasuk kes penularan tempatan tersebut dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 23.

Kes ke20 merupakan seorang pelajar lelaki universiti awam tempatan berumur 23 tahun yang membuat lawatan sambil belajar bersama 12 orang pelajar dan pensyarah selama tujuh hari di Melbourne sejak 7 Jun lepas.

Beliau pulang dari Melbourne dengan penerbangan Air Asia X D7 2723 dan sampai di LCCT pada 14 Jun jam 7.15 pagi. Kes ke21 adalah pelajar perubatan sebuah universiti di Melbourne berusia 20 tahun yang pulang bercuti ke Malaysia dengan penerbangan Malaysia MH 128 dan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 16 Jun, jam 6 pagi.

Kes ke-22 pula seorang lelaki berusia 54 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Manila atas urusan perniagaan pada 9 Jun lepas. Beliau pulang melalui penerbangan Malaysia MH 705 dan tiba di KLIA pada 12 Jun lepas, jam 8.25 malam.

Kes ke-23 seorang pelajar perempuan warga Malaysia, 22, tiba dari Melbourne melalui Air Asia X D7 dan sampai di LCCT pada 14 Jun, jam 7.15 pagi.

Dr Mohd Ismail berkata bagi mengesan kontak kesemua kes positif, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama penumpang, anak kapal dan kontak kepada keskes yang terlibat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), memaklumkan sehingga 8 pagi ini, jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan adalah sebanyak 36,346 kes dengan 163 kematian di 76 negara. BERNAMA

Artikel Lain