suria

Kerajaan perpaduan: Jika ada pihak sudah bersedia, teruskan - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Mana-mana pihak yang sudah bersedia perlu meneruskan cadangan agenda kerajaan perpaduan secara ikhlas seperti yang dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata isu berkaitan perpaduan dan masa depan negara merupakan agenda lebih besar dalam konteks cadangan itu.

Oleh itu, katanya, mana-mana pihak yang belum bersedia dengan cadangan agenda itu supaya tidak melemparkan pelbagai tuduhan.

"Orang ramai sudah bosan dengan karenah politik dan isu berkaitan perpaduan dan masa depan kita, saya percaya akan mendapat sokongan dan penerimaan orang ramai," katanya.

Beliau, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini pejabatnya di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini yang mahu Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS dan Ahli Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, mendakwa cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan tidak pernah dibincangkan sebagai agenda PAS mahupun pakatan pembangkang, sebaliknya bersifat peribadi.

Katanya cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam Pas serta pakatan pembangkang. BERNAMA

Artikel Lain