suria

Usah gugat keselamatan Malaysia kerana masalah negara asing - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memberi amaran kepada mana-mana pihak terutamanya dari luar supaya tidak mewujudkan huru-hara di negara ini ekoran masalah politik negara asal mereka.

Ketika mengulas mengenai demonstrasi kira-kira 700 warga Iran di pekarangan Wisma UN, Jalan Semantan di sini semalam, Hishammuddin berkata, beliau berharap kejadian itu tidak akan berulang.

Malah beliau meminta pihak berkenaan supaya tidak bertindak keterlaluan yang boleh menggugat keselamatan rakyat di negara ini.

"Jangan sewenang-wenangnya melihat Malaysia ini untuk mereka mewujudkan keadaan huru-hara dan kita tidak akan benarkan isu luaran dibawa ke jalan-jalan raya negara kita," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kekecohan yang ditimbulkan kira-kira 700 warga Iran yang majoritinya pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, yang membantah kemenangan Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada pilihan raya minggu lalu.

Berhubung kekecohan yang dicetuskan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat semalam, Hishammuddin berkata, pasukan polis sentiasa bersedia memberi bantuan kepada pihak keselamatan Parlimen jika keadaan memerlukan.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk membantu sekiranya diperlukan oleh pihak bentara dan itu juga yang saya tegaskan berhubung isu DUN (Dewan Undangan Negeri) Perak," katanya.

Artikel Lain