suria

Tujuh lelaki samun 11 individu dalam sejam diburu

PETALING JAYA: Dalam tempoh satu jam sahaja di awal pagi ini, tujuh lelaki menyamun 11 individu di beberapa lokasi berasingan sekitar Puchong di sini dengan hasil kegiatan jenayah lebih RM9,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan berharga lain.

Penyamun yang bersenjatakan parang itu melarikan antaranya tujuh buah telefon bimbit, lima bentuk cincin, seutas rantai dan beg sekolah ketika melakukan kegiatan jenayah mereka di lima buah restoran dan sebuah hotel di Puchong Jaya, Bandar Baru Puchong dan Kinrara, antara pukul 5.30 pagi dan 6.30 pagi ini.

Polis percaya penyamun yang terlibat adalah daripada kumpulan yang sama dan mereka berpecah ketika menjalan kegiatan menyamun di premispremis terbabit dalam masa satu jam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata polis telah melancarkan gerakan memburu kesemua suspek dan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran dan hotel terlibat bagi membantu siasatan.

Bercakap kepada pemberita di Balai Polis Puchong di sini hari ini, Zainal Rashid berkata 11 mangsa itu merupakan pekerja, peniaga, pelanggan kedai dan juga pekerja hotel.

"Antara yang menjadi mangsa termasuklah empat wanita dan ada antara mereka dicederakan dan ditendang di dada hanya kerana meminta kad pengenalan semula," katanya.

Beliau berkata suspek menggunakan kereta jenis Honda dan motosikal dengan nombor pendaftaran kenderaan palsu ketika melakukan jenayah.

Seorang daripada mangsa samun yang hanya mahu dikenali sebagai Ho, 45, berkata tiga pekerjanya warga Myanmar diserang oleh tiga lelaki bersenjatakan parang ketika beliau hendak membuka restoran miliknya di Batu 7 1/2, Taman Kinrara.

Katanya, penyamun kemudiannya mengacukan parang ke leher seorang pekerjanya dan merampas sebuah telefon bimbit manakala dua lagi pekerjanya brjaya melarikan diri melalui pintu belakang.

"Ketika kejadian saya keluar sebentar. Suspek bagaimanapun gagal mengambil wang tunai kerana mesin wang berkunci namun mereka melarikan beg sekolah anak saya, akibatnya anak saya tidak dapat bersekolah hari ini," kata wanita itu dan menurutnya restorannya juga disamun tiga hari lepas.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Guan, 60an, berkata, kirakira pukul 6 pagi beliau dihampiri oleh tiga lelaki dalam sebuah kenderaan jenis Honda berwarna hitam di restoran miliknya di Jalan Bandar 9, berdekatan pasaraya Tesco.

"Saya yang berada di hadapan restoran ketika itu terkejut apabila mereka mengacukan parang dan meminta dompet saya. Saya yang ketakutan lalu menyerahkan sahaja dompet itu.

"Saya kemudiannya meminta mereka agar memulangkan kad pengenalan saya. Mereka bagaimanapun marah lalu menendang dada saya hingga terjatuh sebelum mereka melarikan diri. Kejadian itu berlaku tidak sampai lima minit pun," katanya.

Pemilik restoran bersebelahan, Lim , 40an yang ketika itu berada dalam restoran, meluru ke luar apabila terdengar bunyi kecoh itu, bagaimanapun dia turut menjadi mangsa apabila beg pinggangnya disentap oleh penyamun berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain