suria

SIS minta PAS pinda usul pengharaman

PETALING JAYA: Sisters In Islam (SIS) hari ini menyambut baik cadangan PAS untuk mengadakan forum khas bagi membahaskan isu mengenai'pengharaman'pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

"Kami (SIS) sentiasa terbuka dalam isu begini dan menyambut baik cadangan untuk mengadakan perbicangan meja bulat dengan mereka (PAS)," kata Pengurus Kanan SIS, Maria Chin Abdullah kepada mStar Online hari ini.

Mengenai cadangan PAS supaya pertubuhan itu disiasat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana didakwa menyeleweng daripada syariat Islam, Maria berkata SIS bukan sebuah organisasi yang melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang.

"Kami (SIS) tidak melakukan jenayah kenapa kami perlu disiasat? Jika mereka (PAS) ada bukti kami melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam mereka perlu kemukakan bukti terlebih dahulu," katanya.

Sebelum ini, Yang diPertua PAS kawasan Shah Alam, Khalid Samad berkata usul 'pengharaman' SIS tidak boleh ditarik balik kerana ia telah diluluskan tanpa bahas dalam Muktamar ke-55 parti itu tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Maria berkata jika PAS tidak boleh menarik semula usul tersebut parti itu sepatutnya meminda usul tersebut.

Ketika ditanya apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh organisasi itu, beliau berkata: "Kami (SIS) sedang mengumpul tanda tangan daripada orang ramai yang membantah resolusi pengharaman SIS yang telah diluluskan ketika Muktamar PAS baru-baru ini."

Majlis menandatangani petisyen bagi membantah resolusi 'pengharaman' SIS telah dilancarkan oleh organisasi tersebut semalam.

"Setakat hari ini kita berjaya mengumpul 1000 tandatangan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam," katanya.

Jelas beliau, perkara tersebut menunjukkan banyak pihak membantah isu 'pengharaman' SIS yang dikemukakan oleh PAS.

Dalam muktamar tahunannya baru-baru ini, PAS menggesa kerajaan mengharamkan SIS jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Gesaan itu terkandung dalam salah satu usul yang diterima tanpa dibahas.

Usul itu antara lain berbunyi menyedari bahawa aliran dan pandangan dibawa oleh SIS boleh mengelirukan masyarakat, mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat siasatan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Bagaimanapun kelmarin, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam mengaku berlaku kesilapan dalam usul mengenai isu 'pengharaman' SIS yang diluluskan tanpa bahas sewaktu Muktamar PAS ke-55 baru-baru ini.

Kesilapan tersebut telah mencetuskan polemik kepada banyak pihak.

Pelbagai pihak telah salah tafsir mengenai apa yang dimaksudkan dan perundingan (musyawarah) merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini.

Artikel Lain