suria

Razak Baginda bebas: Mahkamah tetapkan 8 Julai untuk sebutan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan berhubung permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan pendakwa raya tidak membuat rayuan di atas pembebasan Abdul Razak Abdullah Baginda.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Noraini Abdul Rahman membuat keputusan itu di dalam kamarnya setelah mendengar permohonan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Shaariibuu Setev.

Sangeet memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa pihaknya memerlukan sedikit masa untuk menjawab hujahan bantahan yang dikemukakan oleh peguam Wong Kian Kheong, mewakili Abdul Razak, pada bulan lepas. Hari ini sepatutnya perbicaraan kes itu dan mahkamah akan mendengar bantahan awal dari pihak Peguam Negara.

Pada 24 Dis tahun lepas, Shaariibuu, bapa wanita Mongolia, Altantuya yang dibunuh tiga tahun lepas, mengemukakan permohonan agar disemak semula keputusan pendakwa raya tidak membuat rayuan terhadap pembebasan penganalisis politik itu daripada tuduhan bersubahat membunuh anaknya.

Dalam permohonan itu, yang dikemukakan menerusi peguam Karpal Singh menamakan Peguam Negara dan Abdul Razak sebagai defendan.

Sementara itu, pada 3 Mac lalu Peguam Negara mengemukakan permohonan membantah semakan semula itu dengan mengemukakan alasan beliau tidak boleh dicabar kerana mempunyai kuasa untuk membuat rayuan atau tidak kerana ia termaktub dalam Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Razak, 48, dibebaskan oleh Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin pada 31 Okt tahun lepas daripada tuduhan bersubahat dengan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas melakukan pembunuhan itu.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 33, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 37, dijatuhi hukaman gantung sampai mati pada 9 April lalu.

Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Okt 2006. BERNAMA

Artikel Lain