suria

Polis siasat kes guru paksa murid buat seks oral

KUCHING: Polis hari ini mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan empat murid di sebuah sekolah rendah di Bintulu yang dipaksa melakukan oral seks selain diambil gambar lucah oleh seorang guru lelaki berusia 24 tahun di sekolah terbabit.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Hamza Taib berkata polis sudah merekodkan kenyataan daripada guru terbabit dan murid terbabit sudah dibawa menjalani pemeriksaan perubatan.

Polis masih menyiasat kes itu dan belum ada sebarang tangkap dibuat setakat ini, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas antara Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Datuk A Thaiveegan dan ACP Aman Hussein.

Aman akan memangku tugas itu berikutan Thaiveegan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor. "Guru terbabit masih menjalankan tugas seperti biasa...kita hanya akan melaksanakan tangkapan selepas mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris setempat hari ini menyebut kejadian itu didakwa berlaku antara 14 Mei dan 15 Mei lepas membabitkan murid Tahun Dua dan Tahun Empat.

Guru Besar dan warden sekolah terbabit difahamkan membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu, semalam. BERNAMA

Artikel Lain