suria

Pengarah syarikat dituduh pecah amanah RM111,000

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat jual beli kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan tiga cek bernilai RM111,000 yang diterima daripada seorang doktor pakar perunding Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 2002.

Karman Abu Bakar, 58, didakwa menerima tiga cek itu daripada Datuk Prof Dr Zulkifli Ismail yang kini bertugas di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebagai bayaran untuk membeli sebuah kereta.

Mengikut pertuduhan pertama, Dr Zulkifli menyerahkan cek bernilai RM1,000 kepada Karman selaku pengarah Syarikat Jati Asia Jaya Sdn Bhd pada 2 Ogos 2002, di HUKM.

Dr Zulkifli juga menyerahkan satu lagi cek bernilai RM19,000 di tempat yang sama kepada Karman pada 21 Ogos, 2002, dan bagi pertuduhan ketiga pengadu menyerahkan cek RM91,000 kepada Karman, di rumahnya di No.49, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara pada 15 Januari 2003.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar meminta mahkamah menetapkan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin, serta mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh.

Karman yang tidak diwakili peguam berkata beliau dan isterinya kini tidak sihat dan terpaksa menumpang di rumah anaknya di Wangsa Maju setelah diperintah keluar dari rumah sewanya di Rawang kerana gagal membayar sewa selama lapan bulan.

Hakim S. M. Komathy Suppiah menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala pasport Karman diserahkan kepada mahkamah, dan beliau juga diarah melaporkan diri di Balai Polis Wangsa Maju sekali dalam tempoh sebulan.

Komathy menetapkan 16 Julai untuk sebutan semula kes itu. BERNAMA

Artikel Lain