suria

Pengangguran bukan masalah utama: Nor Mohamed

SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata pengangguran bukan masalah yang serius dalam negara pada masa ini.

"Pengangguran tidak meningkat, kita biasa dengan paras pengangguran antara dua dan tiga peratus. Kita menjangka semasa krisis sekarang ini ia mungkin naik kepada empat hingga ke empat setengah peratus tetapi pengangguran hari ini bukan satu masalah utama," tegas beliau.

Nor Mohamed berkata demikian semasa sidang akhbar di sini semalam setelah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC).

Beliau berkata walaupun terdapat beberapa pekerja yang diminta untuk mengambil Skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSs) atau mengambil cuti panjang, keadaan sedemikian adalah satu rahmat di sebalik kejadian. Ia boleh menyediakan peluang kepada pekerja untuk menjalani latihan di pusat latihan seluruh negara termasuk di SHRDC.

Tenaga kerja Malaysia akan bersedia untuk kedudukan yang lebih baik apabila ekonomi pulih kembali, katanya.

Banyak negara menjangkakan prestasi ekonomi mereka bertambah baik pada separuh kedua tahun ini dan mungkin mencatatkan pertumbuhan positif yang rendah.

Nor Mohamed berkata: "Kita juga yakin yang separuh kedua (tahun) akan lebih baik. Sebenarnya ini boleh dilihat dalam pasaran saham... ia (Indeks Komposit) kembali kepada lebih 1,000."

Pasaran saham bukan hanya mengenai harga dan nilai yang diwujudkan di pasaran tetapi juga indikatif paras keyakinan dalam ekonomi, katanya. BERNAMA

Artikel Lain