suria

PAS dakwa tak tahu rancangan Nizar

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa berkata Anggota Parlimen Bukit Gantang daripada parti itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, telah berjaya dalam hasratnya untuk menarik perhatian dunia daripada tindakannya di Dewan Rakyat semalam.

"Beliau nak tarik perhatian dunia dan beliau sudah mendapat perhatian dunia," katanya merujuk kepada tindakan Mohammad Nizar memakai lilitan bertulis "Bubar DUN" pada songkoknya selain melaungkan "Hidup Rakyat, Bubar DUN" sebaik mengangkat sumpah memegang jawatan seamalam.

Akibat perbuatan melanggar peraturan itu, beliau digantung daripada menghadiri persidangan selama dua hari oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Nasharuddin berkata beliau tidak mengetahui sepenuhnya tindakan yang ingin dilakukan oleh Mohammad Nizar kerana beliau hanya dimaklumkan bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memakai lilitan lengan, dan oleh itu terkejut apabila Anggota Parlimen berkenaan bertindak lebih daripada itu.

Ditanya sama ada beliau setuju dengan tindakan itu, Nasharuddin berkata oleh kerana kejadian itu telah berlaku, maka beliau menerima seadanya.

Beliau menolak kemungkinan bahawa Mohammad Nizar akan dikenakan tindakan disiplin oleh Pas berhubung kejadian itu.

Mengenai laporan portal berita Agenda Daily bahawa berikutan kejadian itu, beliau kini menjauhkan diri daripada Mohammad Nizar, Nasharuddin berkata beliau tidak pernah berkata demikian.

"Apa yang saya katakan ialah apa yang berlaku semalam merupakan respon Nizar untuk menunjukkan kepada dunia apa yang sedang berlaku di Perak, walaupun secara peribadi, saya tidak diberitahu perkara yang akan beliau lakukan semalam," katanya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, berkata kekecohan yang berlaku semalam merupakan manifestasi masalah yang wujud di Perak.

"Apa yang dilakukan oleh Nizar semalam adalah perkara spontan. Ia menggambarkan betapa seriusnya situasi di Perak di mana ia boleh diselesaikan sebaik sahaja DUN Perak dibubarkan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain