suria

Kerajaan dan media perlu bekerja sebagai satu pasukan

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan media di negara ini perlu bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha mendekati rakyat dan mewujudkan komunikasi yang lebih terbuka antara pentadbiran dan rakyat.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman berkata media juga perlu menjadi kritikal dan objektif bagi membolehkan rakyat mengetahui dan melihat sesuatu isu atau masalah itu dengan lebih jelas.

"Dengan cara ini, rakyat boleh melihat sesuatu isu dan masalah itu dengan lebih jelas dan memberi pandangan mereka untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian," katanya ketika berucap pada malam media kementerian itu di sini semalam.

Beliau berkata media di Malaysia, sama ada elektronik atau cetak tidak boleh membenarkan diri mereka terpengaruh dengan sistem media komersial antarabangsa.

"Media mempunyai peranan menjaga kepentingan negara dan tidak boleh menjadi alat untuk kepentingan nasional negara lain. Oleh itu ia tidak boleh melihat isu domestik melalui sudut antarabangsa. Maklumat yang disebarkan perlu objektif dan adil untuk kepentingan rakyat," katanya.

Pada majlis itu, Anifah turut menyampaikan cek untuk Tabung Kemanusiaan Palestin bernilai RM115,053.10 sumbangan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa). BERNAMA

Artikel Lain