suria

Kematian Gnanapragasam tiada unsur jenayah

SUBANG: Keputusan bedah siasat ke atas A.Gnanapragasam, suspek kes pecah rumah yang mati di sel lokap Balai Polis Damansara Damai kelmarin, disahkan bukan disebabkan perlakuan jenayah.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi di sini semalam mengesahkan bahawa punca kematian Gnanapragasam adalah "toxaemia secondary to spontaneous peritonitis" iaitu keracunan darah akibat jangkitan bakteria dalam usus.

Beliau berkata bedah siasat terhadap lelaki itu dijalankan tengah hari semalam oleh ahli patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Prashant Smberkar tengah hari kelmarin.

Gnanapragasam yang ditahan Rabu lepas ditemui mati pagi semalam dalam keadaan terbaring di tandas sel oleh seorang pengawal lokap yang sedang membuat rondaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohammed berkata hasil bedah siasat tidak menemui sebarang kesan lebam mahupun kecederaan pada lelaki itu.

"Justeru kami mahukan kerjasama orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang tuduhan melulu tanpa usul periksa. Bagaimanapun siasatan lanjut (mengenai perkara ini) akan tetap dijalankan," katanya ketika ditemui di Subang Bestari di sini semalam.

Katanya keputusan mengenai punca kematian Gnanapragasam dikeluarkan kira-kira pukul 7.30 malam ini oleh PPUM. BERNAMA

Artikel Lain