suria

Jawatankuasa Influenza H1N1 bermesyuarat Khamis ini - Liow

KUALA LUMPUR: Berikutan pandemik Influenza A (H1N1) memerlukan perhatian segera, Jawatankuasa Influenza Antara Kementerian akan mengadakan mesyuarat pertamanya mengenai pandemik itu pada Khamis ini dan bukannya Jumaat seperti jadual.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan membincangkan pelbagai isu mendesak dan langkah berjagajaga terhadap influenza itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Ini akan merupakan mesyuarat pertama dan ia pada mulanya dijadualkan pada Jumaat tetapi diawalkan lagi ekoran perkara itu memerlukan perhatian segera.

"Saya telah berbincang dengan (Tan Sri) Muhyiddin dan beliau amat bimbang dengan perkembangan terbaru pandemik ini," kata Liow kepada pemberita selepas melancarkan Program Combi Sekolah peringkat Wilayah Persekutuan di SRJK(C) Tsun Jin di sini hari ini.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan 17 kes import yang disahkan Influenza A(H1N1).

Jumlah mereka yang dijangkiti penyakit itu di seluruh dunia telah meningkat kepada lebih 30,100 kes dan 145 kematian di 80 negara.

Liow juga berkata kementerian tidak akan mengeluarkan nasihat perjalanan kerana langkah itu masih belum dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau berkata langkah pemantauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga akan dipertingkatkan.

"Kami sedang memasang alat pemeriksaan tetap di KLIA untuk memeriksa semua penumpang termasuk penumpang transit," katanya dan menurutnya bagaimanapun tiada keperluan untuk memeriksa penumpang domestik.

Sementara itu, Liow berkata kementerian sedang menggiatkan lagi usaha membendung demam denggi termasuk memperluaskan program kesedaran dan pendidikan, menggesa orang ramai supaya lebih komited dan proaktif dalam usaha membanteras pembiakan nyamuk Aedes, pembawa demam itu.

Kementerian akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih drastik termasuk mengenakan denda serta merta terhadap pemilik premis dan rumah yang didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, katanya.

"Kami telah berikan nasihat. Sudah terlalu banyak nasihat diberikan tetapi tetap tidak efektif.

"Jadi, jika pegawai penguatkuasa mendapati sesebuah rumah itu mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes seperti takungan air yang mengandungi jentikjentik, pemilik rumah itu akan didenda serta merta. Tiada lagi nasihat," katanya.

Pemilik rumah boleh didenda RM100 bagi seekor jentikjentik Aedes dan bagi kontraktor, RM500 bagi seekor jentikjentik yang ditemui di tapak pembinaan. Denda boleh meningkat kepada RM1,000 bagi kesalahan berulang.

Setakat 30 Mei lepas, 21,707 kes denggi dengan 57 kematian dilaporkan.

"Angka ini besar, jadi kita tidak boleh pandang mudah perkara ini, Saya gesa semua pihak lebih komited dalam memerangi denggi," kata Liow.BERNAMA

Artikel Lain