suria

Husam akan tarik balik saman fitnah terhadap dua ADUN

KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa akan menarik balik saman fitnah RM6 juta yang dikemukakannya terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Bunga Mohd Adhan Kecik dan Adun Paloh Datuk Nozula Mat Diah.

Peguam yang mewakili Husam, Ahmad Shabrimi Mohd Sidek, memberitahu media hari ini bahawa Husam berhasrat menarik balik saman itu selepas kedua-dua Adun Barisan Nasional itu membuat permohonan maaf secara terbuka pada awal bulan ini.

"Kami menjangkakan kes ini akan diselesaikan. Penarikan balik saman itu akan dibuat di hadapan hakim pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu, kami masih berunding dan akan mendapatkan arahan lanjut daripada plaintif mengenai sama ada untuk menarik balik saman terhadap defendan ketiga, New Straits Times Press (M) Berhad," katanya selepas kes itu dikemukakan bagi pengurusan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Hilmiah Yusof di dalam kamar di sini.

Pada 31 Jan tahun lepas, Husam memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Mohd Adhan, Nozula dan NSTP selepas dua wakil rakyat itu mendakwa Husam terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah jenayah dalam pentadbiran kerajaan negeri dan menggesa Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat.

Kenyataan memfitnah yang didakwa itu telah diterbitkan dalam New Straits Times dan Berita Harian pada 28 Nov, 2007.

Husam, bekas naib presiden PAS, mendakwa Nozula dan Mohd Adhan, pada sidang media, telah membuat dakwaan bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa dan bertanggungjawab bagi salah urus dalam syarikat Air Kelantan Sdn Bhd.

Beliau mendakwa kenyataan dan artikel itu adalah palsu, memfitnah dan tidak berasas dan telah mencemarkan maruahnya sebagai seorang ahli politik dan pemimpin parti yang memperjuangkan agama Islam.

Mahkamah menetapkan 4 Sept bagi pengurusan kes, kata Ahmad Shabrimi. BERNAMA

Artikel Lain