suria

Cubaan wujudkan semula PKPM, 42 ditahan

KUALA LUMPUR: Seramai 42 lelaki termasuk enam orang kanan Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) ditahan setelah dikesan terlibat dalam cubaan menghidupkan semula pertubuhan haram itu yang pernah dilumpuhkan Polis Diraja Malaysia enam tahun lepas.

Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman SAC I Tajuddin Md. Isa berkata antara yang ditahan ialah peneraju PKPM Nor Azami Ahmad Ghazali serta 36 bakal anggota yang baru hendak direkrut berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an.

Mereka semua diberkas dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Gombak Jaya di sini tengah hari semalam dengan 36 daripada "rekrut" itu ditahan ketika menduduki peperiksaan kononnya sebagai syarat menyertai pertubuhan berkenaan.

Enam pemimpin kanan termasuk peneraju pertubuhan itu akan direman manakala 36 rekrut itu ditahan untuk diambil keterangan, katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bukit Perdana di sini semalam.

Beliau berkata polis turut merampas sejumlah dokumen, resit bayaran untuk menjadi ahli, cop syarikat, buku soalan temuduga, sejumlah baju, blazer dan topi berlogo PKPM, tiga kasut but, 22 keping surat tawaran, pelbagai lencana dan lambang VIP serta VVIP, cota dan gambar suspek yang memakai uniform penuh.

PKPM ditubuhkan atas nama PKPM Services Berhad mengikut Akta Syarikat 1965 dan bukannya didaftar di bawah Akta Pertubuhan.

PKPM yang ditubuhkan pada 8 Mei 2003, sepatutnya menjalankan urusan perniagaan dan bukannya menyediakan perkhidmatan membantu polis atau menguatkuasakan undang-undang.

Tajuddin berkata pergerakan pertubuhan haram itu seolaholah menyamai pasukan keselamatan yang memberi gambaran mereka sebuah agensi yang bekerja dengan kerajaan dalam membantu pihak berkuasa membuat kerja-kerja risikan.

Pertubuhan yang diisytiharkan tidak sah itu pernah menggemparkan negara selepas didapati melakukan penyelewengan dan menipu orang ramai sehingga membawa kepada penahanan Nor Azami bersama orang kanannya Abdul Rahman Baba dan Tengku Hamid Tengku Ismail, katanya.

Beliau berkata bagi menyakinkan orang ramai, PKPM yang menggunakan motto 'bersatu membanteras dan menentang musuh negara' itu menawarkan gaji, elaun, pangkat dan kuasa, di samping mengaku bahawa ia adalah agensi keselamatan dan perisikan baru bagi pihak kerajaan.

"Rekrut dijanjikan akan memperoleh RM1,900 sebulan bergantung kepada kepakaran masing-masing sedangkan sebenarnya rekrut itu sendiri yang perlu membayar yuran keahlian dan pelbagai yuran lain apabila dinaikkan pangkat.

"Rekrut teruja apabila mereka diberitahu akan terlibat dalam aktiviti risikan ditambah dapat menyertai pertubuhan berpakaian seragam sedangkan pertubuhan itu tidak diluluskan...maka mereka sebenarnya tidak berhak menggunakan pakaian seragam, apatah lagi dikurniakan pangkat," katanya.

PKPM turut menetapkan kriteria pemilihan anggotanya seperti warganegara, berusia 18 hingga 60 tahun, lelaki dan perempuan, kelulusan akademik, tubuh badan sihat selain tidak mempunyai rekod jenayah.

Tajuddin berkata peperiksaan temuduga untuk merekrut anggota baru turut diselit dengan soalan mengenai warganegara, kajian tempatan, sejarah selain nama-nama menteri.

Beliau berkata tindakan PKPM merekrut anggota baru harus dibasmi segera untuk mengelakkan pertubuhan itu kembali hidup dan seterusnya mengancam keselamatan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta individu yang telah mendaftar sebagai anggota supaya tampil bagi membantu siasatan.

"Kita sedang siasat apakah rancangan yang telah disusun mereka dan berapa ramai ahli mereka, juga sama ada pertubuhan itu mempunyai ahli di seluruh negara," katanya. BERNAMA

Artikel Lain